Saturday 25 June 2011

bersama Syekh Muhammad Abul Huda Al-Yaqoubi



Dalam kesibukkan imtihan dimusim panas ini, kami masih lagi diberi kesempatan masa untuk duduk bersama ulama’ dan mendapat nafahat serta keberkatan dari mereka.
Syekh Muhammad Abul Huda Al-Yaqoubi seorang ulama’ besar Syria bertandang ke bumi anbia membawa seribu rahmat dan curahan ilmu yang mana mungkin tidak kami perolehi sebelum ini.
Beliau bersama kami lebih kurang seminggu, walaupun singkat beliau sempat membacakan kami 2 buah kitab serta ijazah khusus secara sima’i iaitu kitab awa’il sumbuliah (الاوائل السنبلية ( karangan Syekh Al-Al’lamah Musnid Muhammad Said ibnu Muhammad Sumbul Al-Makki As-Syafiee dan kitab hikam athoi’yah الحكم العطائية karangan Syekh Tajjuddin Ahmad ibnu Atha’illah Sakandari.
Beliau juga memberi ijazah umum beberapa kitab hadis , musonnafat , masanid , sunan , jawami’, mustharajat , ma’ajim , ajza’ dan ijazah khusus kutub sittah, muwatta’, musnad imam ahmad, riadus solihen, syamail, syifa’ dan banyak lagi. Tidak lupa beliau membacakan hadis rahmah iaitu hadis awaliah.
Syekh Muhammad Al-Yaqoubi
Beliau Muhammad Abul Huda ibnu Ibrahim ibnu Ismail ibnu Muhammad As-Siddiq ibnu Muhammad Hasan Al-Yaqoubi Al-Hasani Al-Idrisy berketurunan mulia dari Rasullah. Beliau lahir pada tahun 1382 hijrah bersamaan 1963 masihi dalam bi’ah ilmu dan berkat. Ayahanda beliau merupakan seorang ulama besar iaitu Syekh Al’allamah Ibrahim Al-Yaqoubi, begitu juga datuk beliau A’rif billah Said Ismail Al-Yaqoubi yang meninggal pada 1380 hijrah, tidak lupa juga bapa saudara beliau iaitu Syekh Muhammad Syarif Al-Yaqoubi. Maka tidak hairanlah segala ilmu serta keberkatan diwarisi oleh beliau. Ayahanda beliau imam malikiah kemudian menjadi imam hanafiah, mengajar di Jami’ Umawiah, Jami’ Darwish Basha dan Jami’ Uthman.
Nasab beliau
Beliau berasal dari ahlul bait Rasullah yang mana nasab beliau sampai pada Saidina Hasan radiallahu annu cucu saidul anbia wa rasul. Keturunan beliau juga sampai kepada pengasas Daulah Adarisah di Maghribi, Maulana Idris Anuar ibnu Idris Akhbar ibnu Abdullah Kamil ibnu Hasan Al-Musanna ibnu Hasan ibnu Saidina Ali dan Saidatina Fatimah bintu Rasullah sollahu alaihi wasalam.
Perjalanan ilmu
Sejak kecil lagi beliau dididik dan melazimi ayahanda beliau dalam menuntut ilmu, beliau bermula dengan menghafaz Al-quran dan beberapa matan hadis , qasidah islam serta jahiliah. Keilmuan beliau terserlah apabila sudah menghafaz matan Arbain An-Nawawi, mukhtasor soheh Bukhari, dam Riadus Solehin sejak berumur 5 tahun. Beliau juga menghafaz matan rahbiah, baiquni, sullam, alfiah ibnu malik, alfiah suyuti dalam bidang hadis dan banyak lagi.
Beliau juga mempelajari ilmu syariah, ilmu alat, ilmu tauhid serta menjadi khadam kepada ayahandanya, mendapat curahan nafahat serta keberkatan ilmu dengan sentiasa duduk serta melazimi ayahanda beliau, segala ilmu dicurahkan, dihiasi peribadi beliau dengan akhlak yang mulia dengan sifat wara’, zuhud yang mana sukar dicari penggantinya .
Beliau dikatakan telah mempelajari lebih kurang 500 kitab,matan serta risalah bersama ayahandanya selama 19 tahun. Dalam bidang hadis beliau membaca kutub sittah, muatta’ riyawat Yahya Al-Laisi dan Muhammad ibnu Hasan As-Syaibani. Manakala dalam bidang akidah pula beliau membaca jauharah , hasyiah dusuki, ummu barahin, syarah tohawi, syarah aqa’id nasafiah dan usulluddin karangn imam Al-Bagdadi.
Beliau juga mempelajari ilmu usul fiqh, ilmu qiraat dari karangan imam syatibiah, manakala dalam ilmu fiqh beliau mempelajari kitab maraqi falah,al-hidayah, lubab dan banyak lagi dalam fiqh hanafi. Begitu juga dalam fiqh maliki, diantaranya syarah risalah li abi hasan.
Dalam bidang ilmu mantiq beliau mempelajari sulam, mi’yar lil imam ghazali dan tahzib li khubaisi , begitu juga ilmu beliau dalam bidang nahu diantaranya syarah alfiah li ibn a’qil,karangan ibn Hisyam, asymuni,begitu juga dalam ilmu bahasa , ilmu adab dalam kitab muallaqat sab’a,maqamat hariri dan dalam bidang balaqah serta ilmu munazarah diantaranya risalah Syekh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid .
Tidak lupa juga ilmu beliau dalam bidang akademik yang mana peringat sanawiah beliau pada tahun 1980 kemudian peringkat ijazah beliau di Universiti Arab Beirut dalam bidang Bahasa Arab, seterusnya peringkat Master beliau di Universiti Damsyik dan membuat doktorah (PHD) sehinggakan ramai yang islam ditangan beliau selepas beliau menguasai bahasa inggeris, akan tetapi beliau lebih banyak menjurus kepada ilmu agama dan mengikut ayahandanya selepas beliau melihat kemusnahkan mahasisiwa yang menuntut ilmu hanya kerna sehelai kertas ijazah.
Ijazah
Beliau mendapat ijazah umum dari ayahandanya serta ijazah riwayat dari ulama terkemuka diantaranya beliau menerima ijazah dari mufti Syria Syekh Muhammad Abul Yasar A’bideen, mufti malikiah Syekh Said Muhammad Makki Kattani, dan Syekh Zainul Abideen At-Tunisi, Syekh Abdul Aziz Al-U’yun, Syekh Muhammad Soleh Al-Farfur, Syekh Muhammad Soleh Al-Khatib dan Ayekh Muhammad Wafa’Al-Qasab.
Beliau menjadi khatib serta guru semasa hayat ayahandanya dan menjadi pengganti ayahandanya sejak beliau berumur 15 tahun, selepas kewafatan ayahandanya maka beliau mengajar ilmu agama di masjid-masjid dan maahad di Beirut. Beliau juga ditugaskan sebagai khatib di Masjid Thaus pada tahun 1980 sehingga tahun 1990 masihi,dalam pada masa yang sama beliau juga menjadi tenaga pengajar di Jabatan Mufti Umum,dan guru dalam fiqh maliki di Maahad Syekh Badruddin Al-Hasani. Pada tahun 1991 beliau mula mengalih pandangan kepada mempelajari bahasa asing, makanya beliau mempelajari bahasa inggeris di Britain, dan bahasa perancis serta latin juga sesuatu dari Itali.
Usaha beliau dalam ilmu dan dakwah
Perjalanan dakwah beliau bermula pada tahun 1997 apabila beliau berhijrah ke wilayah Amerika dan pada tahun 1998 beliau menuju ke Britain, setelah mana beliau menguasai bahasa inggeris dan beliau mengajar ilmu agama, berdakwah kepada umat, memberi nasihat serta menjelaskan kerosakkan yang berlaku di barat dan menyeru agar berpegang pada sunnah Rasullah kerna ianya sebaik-baik jalan petunjuk.
Beliau juga berhijrah ke beberapa Negara di Eropah, juga Malaysia, Indonesia, Singapura, Pakistan, Afrika dan Negara timur tengah.Beliau fasih berbahasa inggeris sehinggakan beliau berkhutbah dalam bahasa inggeris serta menulis risalah khutbah dalam bahasa itu. Beliau mengajar ilmu agama pada orang asing dengan mengajar beberapa kitab hadis dan syariah. Kebiasaannya beliau akan membaca dalam bahasa arab kemudian diterjemahkan pula ke bahasa inggeris serta member penjelasan serta ta’liq agar mudah difahami dan diterima.
Bukan sekadar itu saja usaha beliau dalam dakwah bahkan beliau cukup mengambil berat tentang ilmu sanad ,riwayat serta ijazah dalam bidang hadis secara khusus. Beliau membaca kitab Soheh Bukhari secara sempurna sebanyak 4 kali iaitu di Damsyik pada tahun 1997 selama 19 hari, manakala di Maahad Zaitun California selama 2 bulan bersama terjemah dan syarah ringkas, juga pada tahun 2003 di London dalam masa 10 hari dan akhir sekali pada 2004 di Damsyik dalam masa 8 hari.
Beliau juga mengajar soheh muslim pada 1997 dan 2008, tidak lupa juga kitab muatta’ sebanyak 6 kali, Syamail Muhammadiah sebanyak 18 kali dibeberapa buah negara,diantaranya di Madinah, Damsyik, London dan banyak lagi.
Beliau membuka seluasnya pintu ilmu kepada penuntut ilmu yang ingin mengambil ijazah serta ingin mempelajari ilmu hadis secara khusus daripada beliau. Beliau diantara ulama besar yang mempunyai silsilah sanad yang tinggi sampai kepada Rasullah.
Harapan kami penuntut ilmu agar dapat duduk serta mendapat keberkatan dari ilmu beliau, kehadiran beliau di bumi anbia cukup memberi makna yang besar pada kami.Ya Allah, kami memohon kepadamu agar dipelihara guru-guru kami dan berikanlah kepada kami sedikit nafahat ilmu dan rahmat dari mereka.amin…
Wallahu a’lam…

No comments: